Faiz biadab tuduh PASTI 'ternak walaun PAS'

 

PAS Kawasan Seremban kesal dan kecewa dengan kenyataan Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Muhammad Faiz Na’aman yang disiarkan dalam Malaysiakini baru-baru ini, apabila beliau mendakwa bahawa PASTI hanyalah “ternak walaun PAS”.

Yang Dipertuanya, Rosmin Adam berkata, kenyataan tersebut jelas tidak wajar, keterlaluan dan biadab, kerana istilah “ternak” hanya sesuai digunakan untuk haiwan, bukan kepada manusia, apatah lagi terhadap anak-anak kecil yang menuntut ilmu di PASTI.

Menurut beliau, hakikatnya, PASTI merupakan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang telah berjaya mendidik ratusan ribu pelajar sejak ditubuhkan, malah telah melahirkan ramai tokoh masyarakat, profesional, pendakwah dan pemimpin yang berbakti kepada negara.

"PAS Kawasan Seremban tidak menolak sekiranya ada pihak yang mahu menyerang atau mengkritik PASTI, namun biarlah kritikan itu berpada-pada dan beradab. 

"Serangan melulu seperti ini hanya menampakkan sikap tidak matang dan dendam politik sempit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rosmin berkata, PAS Kawasan Seremban membantah sekeras-kerasnya kenyataan Muhammad Faiz tersebut dan menegaskan sentiasa memberikan sokongan padu kepada PASTI sebagai wadah pendidikan Islam yang sah, diiktiraf dan telah terbukti berjaya.

Beliau menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, dan tidak sesekali menjadikan anak-anak kecil serta institusi pendidikan Islam sebagai bahan penghinaan demi meraih keuntungan politik.








Catat Ulasan

0 Ulasan