PEKIDA Malaysia membantah sekeras-kerasnya Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Mohd. Foad Mat Isa berkata, PEKIDA Malaysia beranggapan RUU URA adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada rakyat.
Menurut beliau, RUU tersebut bukan sahaja merampas hak pemilik tanah dan kediaman, malah membuka pintu kepada pemaju rakus untuk menindas rakyat atas nama pembangunan.
"Sekiranya kerajaan terus berdegil meluluskan RUU ini, ia bererti kerajaan telah bersubahat dan menghalalkan rompakan terancang terhadap harta rakyat di tanah air sendiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd. Foad menambah, PEKIDA Malaysia mengambil maklum jaminan dan janji kerajaan bahawa RUU itu tidak akan mengambil hak Melayu dan bumiputera serta mengikis kuasa kerajaan negeri.
Namun, beliau memberitahu, itu hanyalah sekadar "jaminan politik" dan janji seorang menteri yang tidak ada nilai di sisi undang-undang.
"Sekiranya RUU ini diterima, maka apa sahaja yang terkandung di dalamnya akan terpakai dan menjadi rujukan di mahkamah dan bukan lagi kata dan janji manis kerajaan," jelasnya.
Mohd. Foad berkata, antara contoh bentuk rompakan terancang harta rakyat adalah cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada hanya 75–80% dan had umur bangunan kepada 30 tahun sahaja untuk tujuan pembangunan semula.
Menurut beliau, secara logiknya, terdapat individu yang membuat pinjaman perumahan selama 35 tahun, namun apabila rumah yang dibeli sudah mencecah usia 30 tahun, pihak kerajaan mempunyai kuasa untuk membangunkan semula.
"Ini bermakna, belum sempat pinjaman diselesaikan, individu tersebut bakal berhadapan dengan pinjaman baharu pula untuk membeli rumah," katanya.
Mohd. Foad berkata, RUU URA jelas sekali hanya menguntungkan syarikat-syarikat pemaju perumahan apabila kawasan-kawasan perumahan lama atau sedia ada yang menjadi tempat berlindung rakyat marhaen akan dibangunkan menjadi kawasan elit seterusnya menyebabkan rakyat marhaen diusir secara terhormat dari tempat asal-usul mereka dan merempat di tanah air sendiri atas nama pembangunan.
Tambahnya, begitu juga dalam isu kegagalan menjual rumah baharu di bawah kuota bumiputera.
"URA juga berpotensi menghapuskan kuota bumiputera dengan alasan “sukar dijual”, menghakis ekuiti dalam hartanah bandar, serta mempercepat gentrifikasi yang menghalau penduduk asal keluar dari bandar raya," jelasnya.
"Jika kerajaan anda memilih untuk meluluskan RUU URA, ia bermakna anda memilih untuk bersubahat dengan pemaju menindas rakyat," tegasnya.
Mohd. Foad berkata, PEKIDA Malaysia berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semula cadangan meneruskan perlaksanaan URA buat masa ini.
"Kerajaan seharusnya mengkaji semula dan menambahbaik kelopongan dan ketaksamaan dan juga memberi peringatan bahawa tanah rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat dan tanah pertanian bakal tergadai di bawah RUU ini.
"Jangan cuba menipu rakyat dengan retorik pembangunan, sedangkan hakikatnya RUU ini membuka ruang kepada pengusiran halus, perubahan demografi masyarakat, dan hilangnya identiti asal sesuatu kawasan," jelasnya.

0 Ulasan