Kompaun RM100,000 ke atas Sin Chew, Sinar Harian seperti buli media

 

PAS menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan kompaun RM100,000 terhadap akhbar Sin Chew dan Sinar Harian berhubung kesilapan laporan sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, amaun kompaun tersebut adalah melampau dan seolah-olah bertujuan menekan media supaya akur kepada kehendak politik tertentu.

“Jelas bahawa amaun kompaun tersebut adalah melampau dan kelihatan seperti ‘membuli’ media supaya akur kepada garis atau tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan dengan mewujudkan iklim tapisan kendiri (self censorship) yang berpotensi menghakis peranan bebas media sebagai tonggak keempat demokrasi dan saluran maklumat rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut beliau, Sin Chew dan Sinar Harian merupakan organisasi media yang sudah lama melaporkan perkembangan negara merentas kerajaan, parti dan pemimpin serta wajar diberi kepercayaan untuk mengurus tindakan sewajarnya.

“Langkah kedua-dua media ini menarik segera laporan yang tersilap, membetulkannya dan meminta maaf secara terbuka sebaik sahaja ia disedari adalah memadai sesuai dengan kedudukan, jasa dan usia mereka.

“Ini kerana dalam dunia penerbitan, langkah-langkah tersebut sudah merupakan satu ‘hukuman’ kerana kesannya ke atas integriti dan kewibawaan media terbabit di mata pembaca. 

"Hanya kesalahan sama yang berulang-ulang boleh dianggap sebagai kesalahan serius yang mewajarkan tindakan keras ke tahap langkah yang diambil oleh SKMM ini,” jelasnya.

Tambah beliau, tindakan dalaman oleh Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai badan kawal selia industri media negara sudah mencukupi bagi memastikan standard etika kewartawanan dipatuhi.

“Peranan MMM sebagai tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai media dan laporannya hendaklah dihormati, malah diperkukuhkan tanpa campur tangan terus pihak luar sebelum proses dalaman itu berjalan sempurna.

“Tindakan sebaliknya akan hanya menafikan status, peranan dan tujuan MMM ditubuhkan, sekali gus menjadikannya sia-sia,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan