Papagomo bebas tuduhan hasutan kerajaan pro-Israel, AGC fail rayuan

 

Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini yang melepas dan membebaskan aktivitis media sosial propembangkang, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Jabatan itu merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dibuat tanpa Papagomo dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan, bagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 [Akta 15].

"Setelah mempertimbangkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tersebut, jabatan ini akan memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat.

"Seksyen 4(1)(b) Akta 15 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Papagomo dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat dua tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Papagomo.

Pada 8 Januari 2024, Papagomo didakwa menyebut kata-kata menghasut di Facebook atas nama Halid Hamidi (Halid Mat Kool) pada pukul 1 petang 8 November 2023.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan