Pendekatan serampang banyak mata melalui Budi Madani RON95

 

Inisiatif Budi Madani RON95 yang diperkenalkan kerajaan membawa banyak manfaat kepada rakyat serta memastikan bantuan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang berhak. 

Langkah ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menyeimbangkan keperluan rakyat dengan kepentingan negara, selain menangani pelbagai masalah yang selama ini menjadi rungutan masyarakat.

Antara kelebihan inisiatif ini adalah penekanan bahawa hanya warganegara Malaysia menikmati harga subsidi petrol RON95. 

Dengan mekanisme yang lebih cekap dan teliti, kerajaan dapat mengelakkan ketirisan subsidi yang selama ini turut dinikmati oleh pihak tidak layak. 

Ini menjamin setiap sen yang diperuntukkan memberi manfaat kepada rakyat tempatan, sekali gus memastikan wang negara digunakan dengan lebih bijak dan berkesan.

Selain itu, keperluan bagi pemandu dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang sah juga amat penting. Tindakan ini bukan sahaja mendisiplinkan pengguna jalan raya, tetapi juga meningkatkan tahap keselamatan. 

Apabila lebih ramai pemandu memiliki lesen sah, ia membuktikan mereka telah melalui latihan dan ujian yang sepatutnya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada kecuaian atau ketidakcekapan mengendalikan kenderaan.

Isu cip MyKad yang rosak turut mendapat perhatian melalui inisiatif ini. Ramai rakyat menghadapi kesukaran apabila cip kad pengenalan tidak dapat dibaca oleh mesin. 

Dengan usaha menyelesaikan masalah ini, urusan rakyat menjadi lebih lancar dan memudahkan proses pengesahan maklumat sekali gus mengukuhkan sistem kawalan subsidi kerana setiap pengguna dapat dikenal pasti dengan tepat.

Apa yang lebih penting, inisiatif ini berperanan membanteras penyeludupan petrol ke negara jiran. 

Selama ini, harga subsidi yang lebih rendah berbanding pasaran luar sering menjadi punca penyeludupan, mengakibatkan kerugian besar kepada negara. 

Dengan kawalan yang lebih ketat serta sistem pengesahan identiti, aktiviti haram ini dapat dikurangkan secara berkesan.

Budi Madani RON95 bukan sekadar langkah mengurus subsidi petrol, tetapi satu pendekatan menyeluruh yang menitikberatkan keadilan, keselamatan dan integriti. 

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menambah baik dasar sedia ada agar lebih mesra rakyat, adil dan mampan dalam jangka panjang. 

Ia membuktikan bahawa setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah turut menjaga kepentingan negara.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan