Dulu GST jadi mangsa fitnah PH

 


Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering dijadikan modal politik oleh Pakatan Harapan (PH) kononnya sebagai cukai yang zalim dan tidak adil.

Namun hakikatnya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan kini memberi kesan lebih besar kepada rakyat.

Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berkata, antara propaganda PH sebelum ini adalah GST dikatakan mengutip lebih banyak berbanding SST.

Sedangkan, menurut beliau, lebihan kutipan itu sebahagian besarnya datang daripada sektor ekonomi gelap yang sering mengelak cukai SST.

“Kononnya ketidakadilan padahal kebanyakan kutipan lebihan GST itu adalah dari sektor ekonomi gelap yang sering lari cukai SST. 

"Kini, setelah mereka perkenalkan cukai perkhidmatan digital, kenakan cukai SST tersembunyi bagi bahan api dan dua kali menaikkan kadar serta perluaskan skop cukai SST, kutipan SST kini jauh melebihi kutipan GST masa dulu,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Eric menjelaskan, kelemahan sistem SST membenarkan ruang besar untuk ekonomi gelap terus lari cukai, di samping wujudnya kesan cukai bertindih atau cukai atas cukai. 

Perkara itu, katanya, menjadi faktor utama harga barangan lebih tinggi di pasaran.

“Akhirnya rakyat juga yang kena bayar cukai lebih tinggi 10 peratus + 8 peratus berbanding enam peratus, dan harga barang pula meningkat. 

"Yang dulu kutuk GST habis-habisan, sekarang diam menghilang bila SST lagi tinggi,” katanya.

Menurut beliau, rakyat perlu sedar bahawa isu cukai ini bukan sekadar soal persepsi politik, sebaliknya soal keberkesanan sistem yang memastikan hasil negara terjamin tanpa menekan kos sara hidup rakyat.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan