Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyelar DAPSY yang menuduh beliau tunduk dengan naratif Pas berhubung Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Beliau menegaskan, pendirian menolak URA yang dibawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming adalah berpunca daripada perkara yang perlu ditolak serta ditambah baik demi kepentingan rakyat.
Dr. Akmal berkata, UMNO telah menubuhkan jawatankuasa khas dan akan menganjurkan Konvensyen Melayu Bandar pada 3 Oktober 2025 bagi membincangkan RUU tersebut serta mencari cadangan dan idea terbaik untuk rakyat.
“Kita bercakap untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan poket pemaju!! Ini negara demokrasi, aku tidak setuju yang geng kamu panas dah kenapa.
"Pesanan aku pada kamu adalah: Jadi pemimpin ini perlu ada akal fikiran yang baik untuk berfikir bagi kebaikan rakyat, bukan mengikut sahaja macam lembu kena tindik hidung. Dasar bengap!” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang mendakwa Dr. Akmal bersikap talam dua muka dalam isu berkenaan.
Beliau berkata pendirian Akmal terhadap URA bercanggah kerana pada satu sisi menolak himpunan anjuran PAS, namun pada masa yang sama memberi isyarat kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS sekiranya kerajaan tidak menerima cadangannya.
0 Ulasan