Dewan Pemuda PAS menegaskan bahawa kenyataan DAPSY terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh hanyalah manifestasi ketakutan dan keresahan DAP yang semakin hilang sokongan daripada rakan politik mereka sendiri.
Timbalan Ketuanya, Mohd. Hafez Sabri berkata, DAPSY tidak perlu menjadi batu api dengan melaga-lagakan pihak lain yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Menurut beliau, sikap sebegini hanya membuktikan bahawa DAP semakin terdesak dan tersepit dalam mempertahankan agenda mereka di sebalik pelaksanaan URA.
"Rakyat sudah matang dan bijak menilai siapa sebenarnya yang mendapat laba berganda dan siapa yang menanggung rugi daripada penggubalan URA.
"Adalah dangkal apabila setiap kritikan terhadap dasar kerajaan khususnya kecacatan dan kelompongan URA disempitkan dengan tuduhan eksploitasi isu perkauman, kononnya menimbulkan ketakutan dan kebencian.
"Hakikatnya, bantahan terhadap URA adalah perjuangan membela hak serta harta rakyat yang sah, bukan retorik kosong," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAPSY, Ho Chi Yang mendakwa Dr. Akmal bersikap talam dua muka dalam isu berkenaan.
Beliau berkata pendirian Akmal terhadap URA bercanggah kerana pada satu sisi menolak himpunan anjuran PAS, namun pada masa yang sama memberi isyarat kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS sekiranya kerajaan tidak menerima cadangannya.
Lebih mengecewakan, kata Mohd. Hafez, parti yang mendabik dada sebagai demokratik dan progresif seperti DAP, memilih untuk menempelak rakyat dengan label-label negatif hanya kerana berbeza pandangan.
Malah, beliau menambah, kenyataan pemimpin muda DAP sendiri jelas terjangkit dengan wabak “tone deaf” yang turut dipamerkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang gagal memahami keresahan rakyat.
"Lebih parah, pemimpin muda DAP sepatutnya menjawab keresahan generasi muda yang bimbang akan terpinggir dari bandar.
"Eksploitasi pemaju kapitalis dan pemain hartanah hanya melahirkan lambakan rumah mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji mereka, sekali gus melonjakkan harga rumah di luar kemampuan rakyat biasa," jelasnya.
Mohd. Hafez berkata, Pemuda PAS menegaskan bahawa perjuangan membantah URA adalah perjuangan menegakkan keadilan, menjaga maruah rakyat, dan memastikan tanah serta harta milik rakyat tidak dipergadaikan kepada kapitalis berkepentingan.
"Inilah naratif sebenar, bukan sandiwara politik seperti yang cuba digambarkan oleh DAPSY," katanya.
0 Ulasan