Perjuangan PAS dan Bersatu kini bukan lagi untuk rakyat - Puad

 

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perjuangan PAS dan Bersatu kini bukan lagi untuk agama dan rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau, sekarang kedua-dua parti itu berebut untuk jadi abang besar PN. 

Puad mendakwa, sebab itu konflik PAS-Bersatu bukan sahaja berlaku secara terbuka tetapi secara berdepan seperti ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir Muktamar PAS baru-baru ini.

"Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pun Muhyiddin kena dan di dalam Muktamar Tahunan PAS pun Muhyiddin kena. 

"Macam ada link dan konspirasi terancang," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Beliau juga teringat dialog dalam salah satu filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berbunyi: “Satu untuk engkau, satu untuk aku”. 

Namun, kata Puad, sekarang jadi terbalik iaitu “satu untuk PAS, seribu untuk Bersatu”. 

"Itu menyebabkan PAS  naik angin. Itu sebab MB Terengganu letak jawatan Bendahari PN," dakwanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan, Bersatu mesti menyahut cabaran AJK PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. 

Puad berkata, Bersatu perlu buktikan memang memberi dana politik kepada PAS. 

"Berapa dan kepada siapa disalurkan?" soalnya.

Beliau berkata, Sanusi menafikan Bersatu memberi dana politik dan PAS menggunakan sumber 'tin milo'. 

Walau bagaimanapun, Puad mempersoalkan sama ada hasil kutipan tin milo mencukupi untuk menampung kos kempen RM1 juta bagi setiap kerusi Parlimen seperti yang dikatakan Sanusi.

"Semoga Bersatu keluarkan butiran terperinci. Bersatu jangan bimbang. SPRM tidak kacau kerana akta dana politik belum wujud. 

"Sebab itu SPRM tidak siasat 'Wallahi, saya undi PAS'," katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan