Trump datang Malaysia, apa pendirian UMNO dan Amanah? - Tuan Ibrahim

 


Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO diminta menyatakan pendirian berhubung kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat menantikan penjelasan daripada Amanah dan UMNO kerana sebelum ini Amanah pernah mengakui bahawa mereka adalah parti berprinsip dan tegas, bukan sekadar menurut perintah.

“Di manakah pendirian tegas Amanah terhadap isu Palestin hari ini? 

"Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, sejarah mencatatkan bahawa Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap Amerika Syarikat (AS) di AS.

Beliau turut mengharapkan suara ketegasan daripada UMNO berhubung isu tersebut.

“Sebagai parti komponen yang menyokong kepimpinan PMX dalam kerajaan, sikap berdiam diri hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.

“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan AS, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Jami’:

إِذَا ظَهَرَتِ الْبِدَعُ، وَسُبَّ أَصْحَابِي، فَعَلَى الْعَالِمِ أَنْ يُظْهِرَ عِلْمَهُ، فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ، وَالْمَلَائِكَةِ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Apabila timbul fitnah atau bidaah, dan sahabat-sahabatku dicerca, maka orang yang berilmu wajib menzahirkan ilmunya. Jika dia tidak berbuat demikian, maka ke atasnya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia.”

Beliau menegaskan, pendirian jelas perlu dinyatakan agar Malaysia tidak dilihat tunduk kepada tekanan luar hanya kerana alasan ekonomi.

“Apakah kita sanggup berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi, sedangkan kita mempunyai pilihan lain?

“Ketika saudara-saudara kita di Palestin terus dizalimi tanpa belas ihsan oleh Israel yang disokong AS, menjemput Trump untuk hadir ke Persidangan ASEAN bukanlah suatu keutamaan.

“Ingatlah, saudara kita di Gaza terus dibunuh, dan tindakan kita akan memberi isyarat penting kepada seluruh dunia. Sikap kita menentukan maruah negara," katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan