PAS sebagai parti bercitrakan Islam tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam tindakan politik, malah sejarah turut mencatatkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan pimpinan parti itu sehingga kini.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Takiri Aman Razali berkata, perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak bererti parti itu sentiasa betul.
Menurut beliau, ini adalah kerana Islam tetap benar dan tidak pernah salah, tetapi orang Islam yang berpegang dengannya boleh sahaja tersasar dalam percaturan politik.
"Berpegang dengan politik Islam dengan pemakaian soleh jubah dan serban tidak menjamin haloba politik untuk tidak bergaduh saling menjatuhkan dalam politik,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Mohd. Khairuddin berkata, dasar yang dipegang oleh PAS iaitu Islam tidak menjamin parti itu sentiasa betul dalam tindakan politik termasuk dalam kerjasama dengan parti-parti lain.
Beliau menambah, ia juga tidak menjamin pimpinan PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri sentiasa betul dalam ijtihad politik peribadinya.
"Ijtihad tetap ijtihad yang terbuka pada betul dan salah walau mungkin juga diberi pahala atas ijtihad.
“Ijtihad kerjasama PAS dengan parti lain sama ada dijenamakan sebagai ‘tahaluf’ atau ‘ta’awun’, tidak semestinya menepati Islam malah mungkin sahaja tersasar.
"Ijtihad politik parti lain pula jangan pula dituduh tidak Islam hanya kerana berbeza dengan ijtihad politik Pas.
“PAS adalah parti yang boleh keluar dan masuk manakala Islam adalah agama yang dikongsi oleh para penganutnya dalam pelbagai parti yang tidak boleh keluar masuk,” katanya.
Mohd. Khairuddin menambah, perbezaan ijtihad politik juga menyebabkan ada tokoh agama meninggalkan PAS untuk bersama parti lain tanpa mencacatkan iman mereka.
“Ia juga menunjukkan, tuan-tuan guru keluar daripada PAS apabila berbeza dalam ijtihad politik.
"Apabila mereka bersama dengan parti lain pula ia juga satu ijtihad politik yang tidak mencacatkan iman dan Islam seseorang ahli politik kerana ia hanyalah perbezaan platform dalam mengamalkan politik Islam,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal keruntuhan gabungan politik sebelum ini termasuk Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya belum berhasrat membincangkan cerita dalaman kenapa boleh terburainya Pakatan Rakyat. Adakah kerana PAS atau kerana parti lain?
"Adakah MN terburai kerana PAS pegang Islam atau kerana PAS tersasar membuat ijtihad politik melibatkan MN dan PN?
"Atau ijtihad politik Tuan Guru Haji Hadi yang tersasar yang bercanggah dengan Majlis Syura Ulama Pas? Ini saya akan kupas nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak perlu berlapang dada dalam menerima ijtihad politik masing-masing kerana ia tidak semestinya tepat sepanjang masa.
“Semua ini melibatkan ijtihad politik yang boleh jadi betul dan salah pada pertimbangan semasa.
"Maka berlapang dadalah dengan ijtihad politik masing-masing dengan tidak memonopoli Islam hanya untuk parti sendiri sahaja kerana Islam adalah milik bersama semua orang Islam yang memperjuangkan politik Islam,” katanya.
Mohd. Khairuddin turut mengingatkan bahawa Perlembagaan UMNO yang dipinda pada 2019 jelas meletakkan Islam sebagai perjuangan utama parti itu.
“Untuk nota, perlembagaan UMNO yang dipinda pada 2019 menyebut UMNO ialah parti yang memperjuangkan cita-cita Islam... menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
0 Ulasan