Pemuda UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan berhubung dakwaan arak dihidangkan dalam satu majlis rasmi kerajaan yang tular baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan bagaimana perkara sebegitu boleh berlaku dalam acara rasmi yang menggunakan nama kerajaan.
“Kebodohan dan kebebalan apa ni apabila majlis rasmi kerajaan boleh hidangkan arak? Siap free flow pula tu.
"Kita minta YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk jawab, sejak bila majlis rasmi kerajaan boleh dihidangkan dengan arak?” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Beliau turut menggesa kementerian berkenaan tampil memberi penjelasan segera tentang siapa yang membenarkan arak dihidangkan dalam majlis tersebut.
“Dan jika YB Menteri takut untuk menjawab, kita minta KSU kementerian atau Ketua Pengarah Pelancongan untuk jawab siapa yang beri kebenaran untuk dihidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan?
"Jika YB Menteri tidak boleh menjawab, kami mendesak pihak kerajaan terutamamya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pecat sahaja menteri ni,” katanya.
Dr. Akmal turut menegur sikap tidak bertanggungjawab yang jelas tidak menghormati peraturan serta sensitiviti rakyat Malaysia.
“Kamu nak mabuk sampai berbuih mulut dalam majlis kamu sendiri itu kamu punya pasal, tapi peraturan dah beritahu tidak dibenarkan arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, maka sila hormat!
"Kalau jadi menteri pun masih lagi bodoh tentang peraturan dan sensitiviti orang Malaysia, maka lebih baik dibuang sahaja dari Kabinet kerajaan,” katanya.
0 Ulasan