Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya faham mengapa 120 ketua bahagian parti itu mendesak beliau meletak jawatan.
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin sendiri pernah mendesak bekas Presiden UMNO, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi membuat peralihan kuasa.
"Sebenarnya dia mendesak Pak Lah letak jawatan. Pak Lah letak jawatan.
"Muhyiddin pula enggan letak jawatan. Dia lupa apa yang dia pernah buat pada Pak Lah," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Merujuk kepada krisis kepimpinan UMNO dan kerajaan pada 2008, Muhyiddin secara terbuka mendesak Abdullah yang juga Perdana Menteri ketika itu supaya berundur.
Desakan itu dibuat selepas prestasi Barisan Nasional (BN) merosot teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada Mac 2008, apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Muhyiddin yang pada ketika itu Naib Presiden UMNO menyatakan kepimpinan Abdullah wajar dipertanggungjawabkan atas kekalahan besar itu dan menyeru beliau berundur lebih awal untuk memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Akhirnya, tekanan berterusan daripada pemimpin parti dan akar umbi menyebabkan Pak Lah mengumumkan persaraannya pada Oktober 2008 dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada April 2009.
Mohd. Puad menambah, Ahli MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempamerkan wajah berani dan pengecut dalam sidang media semalam.
Menurut beliau, Wan Saiful menunjukkan wajah berani apabila mendakwa video yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali adalah tulen.
Namun, kata Mohd. Puad, Wan Saiful berwajah pengecut apabila mendakwa akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani 120 ketua bahagian Bersatu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin meletak jawatan tetapi mahu beliau melaksanakan peralihan kuasa dengan segera.
"Tidakkah mendesak peralihan kuasa bermakna mendesak Muhyiddin letak jawatan? Kenapa berlapik sangat.
"Mungkin Wan Saiful takut dipecat kerana mendesak pemimpin letak jawatan adalah kesalahan besar dalam parti Bersatu," jelasnya.
0 Ulasan