Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak rakyat turun bersolidariti pada 4 Oktober ini bagi membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang didakwa tempang serta penuh kelompongan.
Ketua DUPP merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, isu utama membabitkan RUU URA termasuklah soal gentrifikasi dan pengekalan identiti Melayu di kawasan bandar, khususnya di Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru.
“Meskipun RUU URA dibentangkan untuk menyelesaikan masalah perumahan usang, terbengkalai atau terbiar, namun beberapa aspek menimbulkan pertikaian.
"Malah, isu berkenaan perlu dilihat bersama krisis pembangunan semula Kampung Baru yang berlanjutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, bil biru kertas Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan nilai ambang persetujuan terhadap pengambilalihan bangunan hanyalah 80 peratus bagi bangunan di bawah usia 30 tahun serta 75 peratus bagi bangunan melebihi usia 30 tahun.
“Ini bermaksud kerajaan melalui pemaju yang dilantik boleh mengemukakan alasan pembangunan semula ke atas mana-mana bangunan, apatah lagi nilai ambang persetujuan tidak lagi 100 peratus seperti mana yang terkandung dalam Akta Hak Milik Strata 1985.
“Malangnya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan lebih suka berdrama mengalihkan perhatian rakyat daripada fokus utama berbanding menjawab pertikaian yang berbangkit,” katanya.
Ahmad menegaskan, membantah RUU URA tidak bermaksud menolak pembangunan kerana Perikatan Nasional (PN) sendiri pernah mengetengahkan dasar berkenaan ketika menjadi kerajaan.
“Cuma yang membezakannya adalah nilai ambang persetujuan di bawah cadangan Kerajaan PN ketika itu masih dikekalkan 100 peratus selaras dengan Akta Hak Milik Strata.
"Tidak seperti Kerajaan Madani yang menurunkan nilai ambang persetujuan tanpa sebarang alasan yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata, rakyat kini berdepan defisit keyakinan terhadap Kerajaan Madani, selain kegagalan menguruskan krisis Kampung Sungai Baru menunjukkan kerajaan tidak bersedia membentangkan RUU URA.
“Bahkan RUU URA ini kelak akan memudahkan jalan pembangunan semula sehingga langsung mengenepikan faktor identiti warisan Melayu di tengah bandar khususnya.
“Kita seharusnya mempertahankan identiti warisan Melayu yang seharusnya dipelihara, bukan dihakis dengan nama pembangunan semula.
"Akhirnya, Melayu bakal jadi melukut di tepi gantang di bawah pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.
0 Ulasan