Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini dilihat dalam konteks hubungan diplomasi antarabangsa yang menghormati negara berdaulat.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu selaras dengan prinsip Islam yang mengiktiraf kunjungan antara pemimpin serta hubungan rasmi menerusi kedutaan luar negara.
“Sidang Kemuncak ASEAN adalah platform rasmi menyampaikan suara setiap negara berdaulat dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.
"Pendirian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sangat jelas terhadap kezaliman Zionis di Gaza dan Palestin dengan bantuan dan perlindungan Amerika Syarikat. Ia patut menjadi pendirian bersama semua negara ASEAN,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, kehadiran Trump ke Kuala Lumpur akan menjadi ruang kepada Malaysia untuk menyatakan sekali lagi pendirian rasmi negara terhadap AS selepas lantang bersuara di pelbagai platform antarabangsa.
Katanya, jemputan itu menepati kaedah fiqh iaitu “تصرف الإمام منوط بالمصلحة” atau tindak-tanduk pemerintah berlegar pada maslahah.
“Antara maslahah kebaikan dan mafsadah kerosakan, kerajaan berpendirian maslahah kebaikan lebih banyak kerana Malaysia dapat menyuarakan pandangan rasmi negara dalam isu Palestin dan Gaza secara jelas dan tegas di pentas ASEAN,” ujarnya.
Mohd. Khairuddin berkata, rakyat boleh meneruskan bantahan sepanjang persidangan berlangsung supaya suara solidariti untuk Palestin turut sampai kepada Trump.
Katanya, cara kerajaan dan rakyat berbeza dalam menyampaikan bantahan tetapi matlamatnya sama iaitu demi Palestin dan Gaza.
“Bagi pembangkang pula boleh saja diambil sisi membantah kerana jarang pembangkang akan bersetuju dengan pendirian kerajaan.
"Malah tindakan sama akan diambil oleh pembangkang apabila menjadi kerajaan. Tetapi matlamatnya juga satu iaitu membantah kezaliman Zionis dan penglibatan Amerika Syarikat yang melindungi Zionis,” katanya.
Beliau menegaskan, sama ada kerajaan, pembangkang atau rakyat, pendekatan yang diambil mungkin berbeza namun tujuan akhirnya hanya satu iaitu membela Palestin.
0 Ulasan