Kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengaitkan kematian seorang bayi dalam kemalangan berhampiran plaza tol Kajang baru-baru ini dengan tidak menggunakan kerusi kanak-kanak disifatkan amat tidak bertanggungjawab, tiada empati serta tidak sensitif.
Ketua Penerangan Pemyda MCA, Neow Choo Seong berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
"Jika saya berada di tempat beliau, fokus utama pastinya diberikan kepada punca sebenar kemalangan – iaitu kegagalan brek lori tersebut.
"Masalah kegagalan brek dan tayar sememangnya antara faktor utama kemalangan melibatkan kenderaan berat di negara ini," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau menambah, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Anthony seharusnya memperketatkan SOP penyelenggaraan kenderaan berat serta meningkatkan penguatkuasaan, bukannya menyalahkan keluarga mangsa kerana tidak menggunakan kerusi kanak-kanak.
Choo Seong mempersoalkan sama ada Anthony benar-benar boleh menjamin bahawa bayi berusia setahun itu akan selamat walaupun menggunakan kerusi kanak-kanak setelah melihat kelajuan dan impak lori yang dirakam jelas melalui CCTV.
"Daripada menuding jari kepada keluarga mangsa, lebih baik YB Anthony Loke memberi tumpuan serius kepada isu keselamatan dan pemantauan jentera berat yang semakin kerap mengorbankan nyawa rakyat di jalan raya," jelasnya.
0 Ulasan