PAS Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Gerakan menggunakan logo parti sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, keputusan tersebut adalah hak parti masing-masing berdasarkan strategi politik dan pihaknya menghormati pendirian serta keyakinan Gerakan untuk menampilkan identiti sendiri di mata rakyat.
“PAS melihat langkah ini sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat.
“PAS Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan kepercayaan rakyat selagi mana komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati dan hala tuju perjuangan, bahkan tindakan menggunakan logo parti ini telah terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa buah negeri pada PRU ke-15,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut beliau, walaupun dengan penggunaan logo berbeza, matlamat utama untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat tetap menjadi titik temu bersama rakan gabungan PN.
“Matlamat utama ialah menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat iaitu berasaskan keadilan, kesejahteraan, tadbir urus yang bersih serta menolak politik sempit yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, PAS akan terus bekerjasama erat dengan Gerakan dan parti lain dalam PN bagi memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia dapat direalisasikan.
0 Ulasan