Kerajaan sementara Sabah jangan umum peruntukan baharu - Bersih

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengingatkan kerajaan sementara Sabah supaya tidak mengumumkan sebarang peruntukan baharu atau terlibat dalam penyampaian peruntukan yang telah dirancang sepanjang tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut BERSIH, pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 6 Oktober lalu bermaksud kerajaan negeri kini berstatus sementara dan tidak lagi mempunyai kuasa sebagaimana kerajaan biasa.

“Sekiranya ada majlis tersebut, penjawat awam peringkat negeri boleh menyampaikan kepada mereka yang terlibat tanpa penglibatan daripada ahli-ahli politik,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Gabungan itu menegaskan, kerajaan sementara perlu mengekalkan neutraliti agar pilihan raya yang dijalankan mempunyai kredibiliti tinggi serta bebas daripada pengaruh tidak wajar kerajaan.

“Amalan terbaik peringkat antarabangsa, antaranya konvensyen negara-negara Komanwel seperti Konvensyen Kerajaan Sementara Australia dan Model Commitment for Advancing Genuine and Credible Elections oleh International IDEA, IFES, NDI, Kofi Annan Foundation dan The Carter Center, menekankan kewajipan kerajaan untuk kekal neutral dalam pilihan raya,” katanya.

BERSIH turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak melibatkan wakil rakyat penyandang dalam program-program kerajaan, selaras dengan prinsip larangan 3C yang digariskan oleh gabungan itu iaitu tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak membawa calon.

“Prinsip-prinsip pilihan raya bersih, bebas dan adil perlu diangkat terutamanya oleh Kerajaan Persekutuan yang mengangkat nilai-nilai reformasi demokrasi dan perundangan. 

"Sumber-sumber kerajaan yang datang daripada rakyat tidak boleh digunakan untuk memberi kelebihan yang tidak adil kepada pihak tertentu, terutamanya kepada parti pemerintah,” katanya.

BERSIH turut menyeru para calon dan parti politik untuk berkempen dengan adil tanpa menunggang jentera serta sumber kerajaan bagi mencari kemenangan.

“Penyalahgunaan kuasa dan dana awam demi kepentingan politik adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat. 

"Jika kerajaan benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, bertandinglah secara bersih, bukan dengan memanipulasi kuasa yang datang daripada rakyat sendiri,” tegas kenyataan itu.

Gabungan itu menegaskan, rakyat Sabah berhak kepada pilihan raya yang tulen dan bebas daripada habuan serta pengaruh tidak wajar.

“BERSIH menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bangkit bersama dalam usaha memastikan PRN kali ini sejatinya bersih, bebas dan adil. 

"BERSIH menyeru kepada rakyat Sabah untuk menyertai inisiatif PEMANTAU PILIHAN RAYA BERSIH kerana masa depan Sabah dan maruah demokrasi kita bergantung kepada keberanian rakyat untuk memantau, bersuara dan menuntut keadilan,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan