Larangan hidang arak dalam majlis selari Perlembagaan - IKIM

 

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa pendirian untuk tidak menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan perlu dikekalkan kerana ia selaras dengan Perlembagaan, prinsip pentadbiran, nilai Islam dan keharmonian sejagat.

Ketua Pengarahnya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, dasar itu bertepatan dengan kerangka asas negara yang berteraskan Rukun Negara serta Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

“Pendirian untuk tidak menghidangkan arak dalam acara rasmi adalah satu dasar yang wajar dipertahankan kerana selaras dengan Perlembagaan, prinsip pentadbiran, nilai Islam dan keharmonian sejagat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menjelaskan, amalan rasmi kerajaan seharusnya mencerminkan nilai dan identiti negara sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara. 

Katanya, prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, dan prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, menuntut agar majlis rasmi sentiasa memelihara tatasusila luhur serta menjauhi unsur yang boleh menghilangkan kewarasan akal.

Menurut beliau, larangan menghidangkan arak dalam majlis rasmi bukan dasar baharu, sebaliknya amalan konsisten yang diamalkan kerajaan sejak lebih lima dekad lalu melalui Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1970, WP 5.1/2013 dan penegasan semula pada 24 September 2024.

“Garis panduan ini menjadi benteng maruah negara serta cerminan jati diri pentadbiran awam,” katanya.

Mohamed Azam menambah, kebijaksanaan di sebalik larangan itu turut selaras dengan prinsip perundangan Islam berdasarkan kaedah Sadd al-Zhara’i yang bermaksud menutup jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan.

“Arak memabukkan dan memudaratkan kesihatan. Menghidangkannya berpotensi membuka ruang kepada kemudaratan seperti hilang pertimbangan, gangguan ketenteraman dan pencemaran imej acara rasmi. 

"Maka larangan ini adalah satu langkah pencegahan yang amat berhikmah,” jelasnya.

Beliau berkata, amalan tersebut juga seiring dengan semangat maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan umum atau maslahah ‘ammah, selain mencerminkan budaya saling menghormati antara penganut agama di Malaysia.

“Seperti mana masyarakat memahami untuk tidak menghidang daging khinzir kepada Muslim atau daging lembu kepada penganut Hindu, demikianlah juga arak tidak wajar dihidangkan dalam majlis rasmi negara,” ujarnya.

Justeru, katanya, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan diseru mematuhi sepenuhnya arahan perbendaharaan yang telah lama berkuat kuasa tanpa sebarang kompromi.

“Sebarang percubaan untuk melanggar arahan ini bukan sahaja mencabar Perlembagaan dan Rukun Negara, tetapi juga mengingkari peraturan pentadbiran serta menjejaskan prinsip kesejahteraan umum yang menjadi benteng maruah negara,” tegasnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan