CEO Petronas minta maaf terlibat insiden semburan arak F1

 


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas penglibatannya dalam sambutan champagne shower semasa majlis penyerahan trofi kemenangan di Grand Prix Singapura baru-baru ini.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku secara spontan kerana terlalu teruja meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One bagi musim ini.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, tular rakaman video siaran langsung menunjukkan Tengku Muhammad Taufik turut serta dalam acara semburan arak di atas podium Formula 1 di Singapura pada Ahad lalu.

Tindakannya itu menerima kecaman pelbagai pihak yang menganggap beliau tidak sensitif terhadap kedudukannya sebagai seorang Islam serta hakikat bahawa arak diharamkan dalam agama.

Selain itu, beliau berada di acara berkenaan bukan atas kapasiti peribadi tetapi sebagai wakil syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan