Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AKeMedia) 2025 di Kuala Lumpur 17 November ini.
Majlis berprestij itu diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan para pengamal media yang memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat secara tepat, sahih dan berkesan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT sentiasa menghormati peranan media sebagai rakan strategik kementerian yang membantu menjayakan dasar serta inisiatif kerajaan.
“KPKT menghormati peranan media sebagai pemangkin kemajuan negara serta rakan strategik kementerian yang membantu menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, penganjuran AKeMedia yang mula diperkenalkan pada 2023 merupakan inisiatif kementerian untuk menghargai khidmat bakti para wartawan, jurugambar dan pengamal media dari pelbagai platform.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi tanda penghargaan atas komitmen media dalam menyebarkan maklumat sahih dan menyokong usaha KPKT ke arah kemajuan Malaysia MADANI,” katanya.
Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan tahun ini, iaitu Anugerah Khas Tertinggi Menteri, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal atau Dalam Talian Terbaik, Anugerah Penyiaran Radio Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer atau KOL Terbaik.
Karya yang dipertandingkan merangkumi bidang tanggungjawab KPKT termasuk perumahan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Wira Merah), kemampanan bandar, bandar pintar, pengurusan sisa pepejal, inisiatif kitar semula, kredit komuniti serta pelbagai skop kerja 14 jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.
Setakat September lalu, AKeMedia 2025 telah menerima sebanyak 243 penyertaan dan kini berada di peringkat penjurian akhir.
Finalis yang dipilih oleh Malaysian Press Institute (MPI) akan dijemput menghadiri majlis makan malam tersebut bagi memeriahkan acara penganugerahan yang dijangka menjadi antara acara media paling berprestij tahun ini.
KPKT turut mengalu-alukan penyertaan dan kehadiran para pengamal media ke majlis berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh hubungan strategik antara kementerian dan industri kewartawanan.
“Melalui penganjuran ini, KPKT berharap dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama rakan media di samping meraikan jasa mereka dalam menyampaikan inisiatif serta pencapaian kementerian kepada masyarakat,” jelasnya.

0 Ulasan