Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru rakyat Sabah untuk berdiri tegas menolak politik wang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Sabah (PRN Sabah) kali ini, susulan pemerhatian yang merekodkan hampir 50 kejadian disyaki kesalahan pilihan raya.
Menerusi kenyataan media hari ini, BERSIH mendapati sebahagian besar kesalahan yang direkodkan melibatkan penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, termasuk bakul makanan, barangan dapur, serta bentuk pemberian lain seperti program isi minyak motor percuma.
"Walaupun sering dibalut sebagai 'bantuan' atau 'inisiatif kebajikan', pemberian seperti ini semasa tempoh kempen adalah satu bentuk penganuan yang melunturkan integriti pilihan raya," jelas BERSIH.
Lebih teruk, Pemantau BERSIH telah melaporkan banyak kejadian di mana jentera dan program Kerajaan Persekutuan dan Negeri dimanfaatkan bagi tujuan politik.
"Tindakan ini bukan sahaja memberi kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah, tetapi turut mengaburkan garisan penting antara urusan kerajaan dan kempen parti," tambah kenyataan itu.
Antara kejadian yang direkodkan termasuk pengagihan bantuan oleh agensi kerajaan, penyerahan geran tanah kepada rakyat oleh calon-calon daripada parti kerajaan negeri, pengumuman peruntukan dan penggunaan program rasmi kerajaan untuk menonjolkan calon tertentu.
Di samping itu, Pemantau BERSIH juga telah menerima beberapa laporan berkenaan cubaan membeli undi secara langsung, sama ada dalam bentuk wang tunai atau tawaran imbuhan tertentu.
"Amalan seperti ini adalah pelanggaran serius undang-undang pilihan raya dan menghina maruah pengundi yang berhak membuat pilihan secara bebas tanpa sogokan," tegas BERSIH.
BERSIH turut mengingatkan semua parti politik dan pengundi bahawa perbuatan mempengaruhi undi melalui pemberian adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 Penyogokan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Malah penjamuan dan pemberian barangan bernilai juga boleh disabitkan kesalahan di bawah Bahagian III Seksyen 8 Penjamuan Akta Kesalahan Pilihan Raya.
"Sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000," jelas gabungan itu.
BERSIH menegaskan bahawa politik wang dan penyalahgunaan sumber kerajaan mesti dibanteras dengan tegas.
"Kerajaan perlu meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya segera, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus diberikan kuasa kompaun untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku politik wang.
"Kami memohon kepada pengundi Sabah agar tidak termakan dengan slogan 'duit terima tetapi tidak semestinya undi pihak yang memberi'.
"Kami mengajak rakyat Sabah untuk mengubah budaya politik ini dengan menolak 100 peratus politik wang dan salah guna kuasa dalam pilihan raya," kata BERSIH.
BERSIH turut menyeru rakyat Sabah agar tidak lagi membiarkan duit dan habuan sementara mengaburi pengundi.
"Politik yang hanya melihat undi sebagai transaksi untuk mendapatkan habuan tetapi gagal dalam tugasan hakiki akan terus merosakkan impian rakyat Sabah," ujarnya.
Laporkan sebarang salah laku kepada Pemantau BERSIH melalui pautan https://pemantau.org.

0 Ulasan