BN bersedia kerjasama dengan parti sehaluan bentuk kerajaan baharu Sabah - Zahid

 

Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk kerajaan baharu untuk kestabilan politik Sabah.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media malam ini.

"BN menyeru seluruh rakyat Sabah untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan rasa hormat terhadap proses demokrasi yang sedang berlangsung. 

"Perjalanan negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak, dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran," katanya.

Beliau berkata, BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN. 

Ahmad Zahid berkata, BN menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang menyaksikan seramai 596 calon telah bertanding sebagai suatu manifestasi kesuburan demokrasi di negeri tersebut.

"Keputusan ini membuktikan bahawa BN masih mempunyai asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah," katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan