Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau menggunakan gelaran Datuk secara palsu serta memiliki kelulusan akademik yang tidak sah.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan jahat untuk mencemar reputasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap dirinya.
Anil menegaskan bahawa semua gelaran dan kelayakan yang dimilikinya adalah sah, diiktiraf serta direkodkan secara rasmi.
“Tuduhan ini adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan nama baik saya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Kunak.
"Saya kesal apabila budaya politik fitnah kembali dijadikan senjata oleh pihak yang takut berdepan dengan persaingan secara sihat.
"Mereka tahu bahawa rakyat Kunak semakin matang dan menilai calon berdasarkan kerja serta kemampuan, bukan berdasarkan cerita rekaan.
"Menabur fitnah bukan sahaja satu tindakan tidak bermoral malah mencerminkan betapa tandusnya idea pembangunan yang mereka ada,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah menasihatkan penyebar fitnah agar menghentikan budaya kotor ini.
“Ingatlah bahawa setiap kata yang dilemparkan akan dipertanggungjawabkan. Politik seharusnya menjadi wadah untuk membina serta memajukan masyarakat, bukan medan menjatuhkan sesama sendiri melalui pembohongan dan tuduhan tidak berasas.
"Kepada rakyat Kunak yang saya kasihi, saya merayu agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan seperti ini.
"Nilailah melalui rekod khidmat dan bukti pencapaian, bukan sekadar cerita yang disebarkan tanpa asas. Ramai telah menjadi mangsa fitnah politik, namun akhirnya kebenaran tetap muncul meskipun mengambil masa.
"Jangan biarkan pihak yang gemar memutar belit fakta terus menipu masyarakat kita,” jelasnya.
Anil menambah, beliau yakin rakyat Kunak cukup matang untuk membezakan antara kebenaran dan pembohongan.
“Teruskan fokus kepada agenda pembangunan, masa depan anak-anak kita dan kemajuan Kunak. Marilah kita menolak politik fitnah dan memilih jalan yang lebih bersih serta berintegriti.
"Saya berdoa agar Allah SWT memelihara kita semua daripada fitnah dan perpecahan, serta memberikan kemenangan kepada pihak yang benar.
"Saya akan terus berkhidmat dengan jujur dan amanah demi rakyat Kunak,” tegasnya.

0 Ulasan