Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, maruah Sabah tidak dapat dipelihara dengan menjauhkan diri daripada Malaysia, sebaliknya melalui sebuah persekutuan yang adil kepada negeri itu.
Menurut beliau, Amanah menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini atas nama Pakatan Harapan (PH) bukan untuk menandingi sesiapa, tetapi untuk mengangkat suara politik nilai, politik yang berteraskan kejujuran, keadilan dan Rahmah.
“Kami memahami sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ yang kuat di hati rakyat negeri ini.
"Namun Amanah berpandangan bahawa maruah Sabah tidak akan terpelihara dengan menjarakkan diri daripada Malaysia, tetapi dengan memastikan Malaysia menjadi sebuah persekutuan yang adil kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Mahfuz berkata, banyak parti di Sabah membawa slogan parti tempatan, namun hakikatnya turut berada dalam kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Warisan, GRS, STAR, UPKO dan lain-lain semua membawa semangat ‘Sabah untuk Sabah’. Tapi bila sampai ke Kuala Lumpur, semua masuk Kabinet Perpaduan Madani!
“Jadi saya tanya bah… Kalau semua sudah dalam kerajaan Persekutuan, mana lagi Sabah untuk Sabah tu? Maknanya, ‘Sabah untuk Sabah’ dah jadi slogan politik murahan, bukan lagi sebuah perjuangan.
"Sabah untuk Sabah tapi tidak menyatukan. Parti lokal Sabah pun berpecah. Jangan biarkan politik slogan memecahkan, tapi biarlah politik nilai menyatukan rakyat Sabah.”
Mahfuz menegaskan, Amanah hadir ke Sabah bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi membawa suara kebaikan dan prinsip.
“Amanah datang bukan nak gaduh, bukan nak lawan kawan. Amanah/PH datang bawa suara kebaikan untuk tambah suara rakyat yang jujur dan berprinsip!
“Biarlah orang kata Amanah parti kecil, tapi tetap berprinsip! Kecil-kecil cili padi tapi pedasnya dari Sulabayan Semporna hingga Putrajaya.
"Dalam politik hari ini, ramai jual prinsip demi kuasa, Amanah bawa politik nilai demi rakyat!”
Beliau berkata, Sabah bukan wilayah pinggiran, sebaliknya merupakan tiang seri Malaysia yang perlu diperkukuh demi kestabilan negara secara keseluruhan.
Menurut Mahfuz, Amanah percaya politik bukan soal sama ada parti itu lokal atau nasional, tetapi tentang nilai, kejujuran dan kepimpinan yang bersih.
“Amanah berpegang bahawa politik sejati bukan tentang ‘parti lokal’ atau ‘parti nasional’, tetapi tentang nilai dan kejujuran.
"Perbezaan dalam pilihan raya tidak harus menjejaskan semangat kerjasama di peringkat persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan Madani.
“Amanah akan terus memainkan peranan sebagai suara kecil yang tidak boleh dijual beli, demi maruah rakyat Sabah dan masa depan yang lebih bersih,” jelasnya.
Mahfuz turut menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan supaya menjadikan pilihan raya kali ini medan nilai, bukannya medan amarah.

0 Ulasan