Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas membezakan urusan rasmi dan aktiviti politik parti, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurut Bersih, penjelasan Perdana Menteri bahawa beliau serta menteri Kabinet berhak menggunakan aset kerajaan bagi tujuan keselamatan dan tugasan rasmi tidak selari dengan pemerhatian sepanjang kempen.
“Sepanjang tempoh kempen, program kerajaan seperti Jualan Ehsan Rakyat diadakan di kawasan pilihan raya, memberi manfaat material kepada pengundi dan mencipta persepsi kelebihan bagi pihak pemerintah.
“Beberapa pengumuman peruntukan juga dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang jelas mempunyai implikasi politik seperti pengumuman peruntukan RM62.76 juta bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Tawau oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober 2025.
"Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil,” kata Bersih dalam kenyataan media hari ini.
Bersih berkata, pihaknya maklum bahawa Perdana Menteri dan menteri kritikal seperti Menteri Pertahanan serta Menteri Dalam Negeri perlu diiringi pengiring atas faktor keselamatan, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk menggunakan jentera kerajaan dalam kempen politik.
Bersih mencadangkan kos perjalanan ke acara parti ditanggung gabungan politik Perdana Menteri, termasuk menggunakan tambang kelas pertama, sebagaimana dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyewa helikopter ketika berkempen pada PRK Cameron Highlands pada 2019.
Menurut Bersih, pemisahan urusan kerajaan dan parti adalah amalan terbaik antarabangsa seperti digariskan dalam Perkara 11 Bangkok Declaration on Free and Fair Elections dan Perkara 4(1) Inter-Parliamentary Union (IPU) Declaration yang menuntut pemisahan jelas antara sumber parti dan kerajaan ketika kempen.
Gabungan itu turut mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi mengukuhkan garis panduan serta penguatkuasaan berhubung pemisahan fungsi rasmi kerajaan dan aktiviti parti.
Bersih memaklumkan mereka telah menyediakan cadangan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya sebagai rujukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang untuk meminda akta berkenaan.
Bersih turut menuntut kerajaan menghentikan semua program yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang tempoh kempen kecuali perkhidmatan kritikal, selain berikrar akan terus memantau dan menegur bagi memastikan pilihan raya kekal bersih, bebas dan adil.
Bersih berkata, sebarang salah laku kerajaan dalam penggunaan sumber rasmi bagi tujuan kempen atau amalan rasuah politik boleh dilaporkan melalui portal pemantau.org.

0 Ulasan