Demo Turun Anwar 2.0 mainan politik sempit PAS - Faiz

 

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil mengecam tindakan PAS yang disifatkan terus memainkan politik sempit apabila merancang untuk menganjurkan demonstrasi ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai bantahan terhadap perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, langkah PAS itu mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan kecenderungan pemimpinnya mempolitikkan setiap dasar kerajaan demi kepentingan politik.

Menurutnya, tidak wajar bagi PAS menggambarkan seolah-olah perjanjian ART bersifat berat sebelah atau merugikan negara kerana rundingan tersebut dijalankan secara teliti oleh pegawai awam yang berkemahiran tinggi serta berpengalaman luas dalam hal ehwal perdagangan antarabangsa.

“Tindakan PAS ini juga tidak ubah seperti menafikan kecekapan serta menjejaskan maruah penjawat awam yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, PAS akan menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara susulan perjanjian ART.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz menegaskan tindakan PAS memperlekeh perjanjian itu menunjukkan parti berkenaan tidak mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas, malah memberi isyarat negatif kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam dasar serta komitmen antarabangsa.

“Jika PAS memerintah, adakah PAS akan menghentikan hubungan dagang dengan AS?

“Adakah PAS mempunyai pelan ekonomi lain apabila pekerjaan dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan ramai orang Melayu dirisikokan?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil oleh Kerajaan Madani berpaksikan kepada kepentingan negara dan bukannya agenda politik kepartian.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran demonstrasi ‘Turun Anwar 2.0’ tanpa alasan kukuh adalah percubaan PAS yang berterusan menanam kebencian dalam kalangan rakyat.

“Politik kebencian ini adalah tidak Islamik dan boleh menggugat kestabilan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan