PAS Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam menangani isu kedudukan serta hubungan antara Kedah dan Pulau Pinang, sambil menegaskan pendirian untuk tidak sekali-kali berundur.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, tuntutan yang dibangkitkan Kedah adalah jelas, termasuk keperluan semakan terhadap nilai pajakan Pulau Pinang serta pemberian pampasan bagi pengambilan sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda.
Menurut beliau, beberapa wakil rakyat DAP sering mengungkit isu kedaulatan Pulau Pinang seolah-olah lupa bahawa Kedah juga memiliki kedaulatan sendiri.
“Kesimpulan daripada beliau adalah pengambilalihan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur pada 1786 adalah tidak sah.
“Pendudukan Francis Light di Pulau Pinang telah ‘melanggar undang-undang antarabangsa’ malah telah dianggap ‘membohongi Sultan Abdullah’ ketika itu.
“Adakah hari ini mereka masih mahu bercakap soal kedaulatan?
“Bagaimana dengan kajian R. Bonney bahawa pendudukan Francis Light di Pulau Pinang sebagai tidak sah justeru meletakkan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang masih di bawah kedaulatan Negeri Kedah?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad turut menjelaskan bahawa tuntutan Kedah itu mempunyai asas perundangan sebagaimana termaktub dalam Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut bahawa Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan sebagaimana ditetapkan sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti bertarikh 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu dan Raja Siam berkaitan Negeri Kedah.
Katanya, pajakan Pulau Pinang yang diterima Kedah pada masa ini adalah RM10,000 sebagai pemberian wajib Persekutuan serta RM10 juta tambahan bersifat pentadbiran. Namun, dalam tempoh lebih 150 tahun, tiada sebarang semakan dibuat terhadap nilai pajakan tersebut.
“Apabila Kedah menyuarakan tentang hasrat ini, mereka kembali mengangkat alasan Pulau Pinang sebuah negeri yang berdaulat.
“Kerajaan negeri Kedah kemudiannya mengambil langkah proaktif dengan membuat kajian menyeluruh semata-mata untuk menentusahkan kedaulatan sebenar Pulau Pinang.
“Maka, apa yang mereka begitu takutkan?" soalnya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa Kedah kini berada pada fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berkaitan isu kedudukan dan hubungan dengan Pulau Pinang.
Beliau berkata, langkah itu dibuat susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan agar isu tersebut dijelaskan secara telus termasuk perkara melibatkan pajakan.

0 Ulasan