Ewon Benedick hantar surat letak jawatan menteri hari ini

 

Datuk Ewon Benedick mengumumkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menghabiskan baki cutinya sebagai menteri mulai hari ini.

“Petang ini, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO untuk membincangkan agenda Sabah First yang sentiasa menjadi asas perjuangan parti UPKO selama ini sepertimana termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya dalam hantaran Facebook.

Spekulasi mengenai kedudukan Ewon dalam Kabinet berakhir kelmarin apabila beliau mengesahkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Tindakan tersebut dipercayai berpunca daripada pendiriannya yang berpegang kepada prinsip dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid terhadap semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Menurut Ewon, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam penghakiman itu dilihat mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat kemasukan Sabah yang termaktub dalam dokumen asas perlembagaan.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.

“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” jelasnya.

BACA LAGI  


 






Catat Ulasan

0 Ulasan