Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan PAS semakin ketandusan modal politik apabila sanggup menjaja fitnah kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART) sebagai “perjanjian jual negara”.
Naib Presidennya, Datuk Wira Haji Mahfuz Omar berkata, tuduhan itu jelas menunjukkan PAS sendiri tidak memahami isi kandungan sebenar perjanjian tersebut tetapi tetap mahu menjadi juru tafsir konspirasi.
“Bila tak boleh berhujah, mereka pilih jalan bising. Inilah penyakit lama PAS: kalau bukan ceramah atas tikar sejadah, semua benda dikira ancaman akidah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, ART bukan satu bentuk penggadaian kedaulatan negara, sebaliknya membuka ruang pelaburan, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Dunia sedang bergerak ke depan, tapi PAS masih sibuk ukur panjang jubah. Bila rakyat naik taraf hidup, mereka tuduh ‘terpengaruh Barat’.
"Bila kerajaan buka pintu kemajuan, mereka kata ‘jual negara’. Nampaknya, apa-apa yang ada unsur ‘naik’ memang musuh PAS termasuklah kemajuan, pemikiran dan trend ART,” katanya.
Mahfuz turut menyindir tindakan PAS yang lebih gemar memainkan isu politik berbanding memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
“Dulu PAS janji nak bawa rakyat naik ke syurga, sekarang sibuk nak turunkan Anwar dari Putrajaya. Himpunan ‘Turun Anwar 2.0’ bukan perjuangan rakyat, tapi terapi politik untuk puak yang kehilangan hala tuju.
"Mereka sudah lama ‘turun’, cuma tak sedar diri belum ‘naik’ semula. Kalau mereka betul-betul faham erti kedaulatan, mereka tak akan jadikan kejahilan sebagai bahan bakar politik,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan hari ini tetap komited memelihara maruah dan kedaulatan negara dengan memperkukuh hubungan antarabangsa secara matang dan berprinsip.
“Malaysia bukan tunduk kepada Amerika, sebaliknya berdiri sama tinggi sebagai rakan strategik dalam dunia yang saling bergantung.
“Inilah semangat Malaysia Madani berpaut pada kekuatan sendiri tanpa menutup pintu kepada kerjasama global yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam nada sinis, beliau turut mencadangkan PAS mencipta versi baharu ART khas untuk diri sendiri, berbunyi: “Aku, Riuh, Tepi longkang (ART).”
BACA LAGI
0 Ulasan