Perjuangan tuntut hak Sabah tak patut jadi punca perpecahan - PKR

 


PKR Sabah menegaskan perjuangan menuntut hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi dan pembangunan sosioekonomi yang adil tidak seharusnya menjadi punca perpecahan politik.

Sebaliknya, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, usaha tersebut perlu dijadikan asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang serta saling menghormati antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

"PKR Sabah menyeru agar semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan, serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional," katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, PKR Sabah juga menghormati keputusan rasmi UPKO untuk berundur daripada Pakatan Harapan (PH) sebagaimana diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Nelson W. Angang.

Menurut Mustapha, sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak 2019, hubungan kerjasama erat telah terjalin di pelbagai peringkat antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat.

“Khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif di Sabah.

“Atas dasar itu, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh tersebut,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan