Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau telah memberi amaran keras kepada setiausaha politiknya susulan tindakan individu itu mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor bagi sebuah projek hospital tahun lalu.
Menurut beliau, tindakan sedemikian jelas tidak dibenarkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
“(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya beri teguran keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (seperti itu).
"Kalau saya terima surat, saya akan kata teliti, tidak boleh buat surat sokongan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS itu mempertikaikan tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang didakwa mengeluarkan surat sokongan pada 2024 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menyenaraikan beberapa kontraktor untuk projek hospital tersebut.
Ahmad Fadhli mendakwa daripada enam kontraktor yang disebut dalam surat berkenaan, hanya dua memenuhi kelayakan.
Namun, beliau tidak menyatakan lokasi projek hospital yang dikaitkan dengan surat sokongan itu.

0 Ulasan