Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PPKPR) menyasarkan mana-mana parti atau individu yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah).
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar.
"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan disarankan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa yang berkaitan terhadap sebarang salah laku, kecurigaan atau sebarang aduan tentang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya.
"SPR sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya ini untuk terus mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang proses ini berlangsung bagi memastikan keselamatan dan integriti pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya dalam kenyataan media semalam.
Baru-baru ini, seorang calon daripada sebuah parti politik mendakwa pegawai SPR seolah-olah mengekori calon parti tersebut dalam semua program kempen mereka.
Khairul Shahril menambah, brikutan PRN Sabah ke-17, SPR telah menubuhkan PPKPR sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertujuan untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.
"Bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut, pasukan penguat kuasa ini menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa," jelasnya.

0 Ulasan