Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azman Baki berkata, SPRM akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
"Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.
"Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendakwa ada percubaan untuk menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Sebelum meletak jawatan, Shamsul Iskandar diselubungi kontroversi ekoran dakwaan seorang individu berkaitan rasuah.
Selain itu, beliau juga terpalit dengan kontroversi berhubung surat sokongannya terhadap kontraktor bagi projek Kementerian Kesihatan.
Anwar menyatakan beliau telah memberi teguran keras terhadap Shamsul Iskandar.
Walau bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli berpandangan, teguran keras itu tidak memadai.
Ahli Parlimen Pandan itu mahu Shamsul Iskandar dipecat atau dilaporkan kepada SPRM.

0 Ulasan