Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mengamalkan layanan dua darjat dalam siasatan, sebaliknya perlu bertindak dengan bersih dan adil.
BERSIH dalam kenyataan media semalam berkata, pihaknya mengikuti dengan dekat siri pendedahan sogokan oleh individu bernama Albert Tei yang melibatkan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan kini termasuk dakwaan ke atas bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
“Semua yang terlibat mendapat sogokan berupa wang dan barangan berharga yang lain,” kata kenyataan itu.
BERSIH turut mempersoalkan kewajaran tindakan SPRM menyerbu rumah Albert walaupun peguamnya telah memaklumkan bahawa anak guamnya akan merakam percakapan pada hari Isnin hadapan.
“Tindakan sebegini sama sekali tidak mencerminkan profesionalisme dan integriti pihak SPRM walaupun mereka sendiri sudah sedia maklum bahawa Albert telah bersedia memberi keterangan.
"BERSIH juga ingin menyoal adakah SPRM akan turut menyerbu kediaman Shamsul Iskandar nanti?” menurut kenyataan itu lagi.
BERSIH berpandangan semua pihak yang dinamakan dalam siri pendedahan termasuk Albert sendiri yang mengakui menyogok ahli-ahli politik serta dakwaan ke atas bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri perlu disiasat setelusnya.
“Albert sama sekali bukan adiwira yang perlu dijulang, namun pendedahan beliau merupakan sesuatu yang sangat mustahak untuk disiasat dengan bersih dan adil,” jelas kenyataan itu.
BERSIH menambah SPRM kini berdepan krisis keyakinan apabila nama-nama besar yang disiasat sehingga kini tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Persepsi rakyat terhadap SPRM terhakis apabila Perdana Menteri berterusan melanjutkan kontrak Azam Baki sehingga kali ketiga walaupun ketika waktu beliau menjadi Ketua Pembangkang, pembangkang ketika itu hebat mengkritik kebebasan SPRM terutama perlakuan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya badan pencegahan rasuah tersebut,” kata kenyataan itu.
BERSIH bersama masyarakat sivil (CSO) lain berulang kali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani melaksanakan reformasi dalam pelantikan jawatan utama penjawat awam seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Polis Negara dan lain-lain.
“Pelantikan jawatan-jawatan ini perlu disemak melalui proses di Parlimen di bawah Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) yang berkaitan agar pelantikan ini bebas daripada cengkaman dan campur tangan berlebihan oleh Perdana Menteri,” tegas kenyataan itu.
BERSIH turut mengingatkan bahawa pada 18 Julai 2024, mereka telah mengeluarkan laporan khas Reformasi SPRM yang menggariskan bentuk reformasi struktural bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan tersebut.
“Azam selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu segera mengundurkan diri daripada terlibat dengan mana-mana siasatan terhadap skandal rasuah yang beliau dikaitkan agar tidak ada konflik kepentingan dalam siasatan.
"Siasatan terhadap mana-mana pihak perlulah dilakukan dengan bersih, bebas dan adil supaya undang-undang dapat berjalan dengan baik serta keadilan dapat ditegakkan,” kata kenyataan itu.

0 Ulasan