Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan parti-parti Melayu memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, gabungan itu yang dinamakan sebagai Payung Melayu merangkumi PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta beberapa parti kecil lain.
“Untuk Tun menang, beliau mesti mengampunkan Datuk Seri Najib Razak dan menyatakan niat itu sekarang.
"Jika beliau sanggup mengampunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018, mengapa tidak Najib? Najib mungkin menyebabkan kerugian AS$680 juta, tetapi tahukah anda berapa besar kerugian negara di bawah PMX?” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tambah beliau, ini merupakan peluang terakhir bagi orang Melayu untuk mengambil semula kawalan ke atas negara dan mentadbirnya dengan semangat merdeka.
“Apa gunanya menegaskan negara ini sebagai Tanah Melayu jika pemimpin Melayu sendiri telah menyerahkan segalanya kepada kuasa dalam dan luar tanpa perjuangan?” ujarnya.
Zaid menambah, meskipun Dr. Mahathir mempunyai kelemahan, beliau masih dianggap sebagai tokoh patriot sejati yang jasanya kepada negara tidak tertanding.
“Sumbangannya kepada negara tiada tandingan sejak dahulu. Beliau boleh membina semula negara ini.
"Saya merayu kepada Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memberi Tun satu lagi peluang agar kita semua mempunyai masa depan,” katanya.

0 Ulasan