Ahmad Amzad dakwa FELDA gagal lunas tunggakan RM600 juta

 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mendakwa FELDA masih gagal menyelesaikan tunggakan bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan kepada Kerajaan Negeri Terengganu walaupun telah mengusahakan tanah seluas 14,791 hektar sejak lebih 40 tahun lalu.

Beliau berkata tanah tersebut merangkumi 10 ladang di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman yang bukan tanah rancangan FELDA dengan peneroka, sebaliknya tanah milik kerajaan negeri yang sepatutnya diurus mengikut syarat serta perjanjian asal.

“Saya merujuk kepada isu melibatkan penggunaan tanah milik Kerajaan Negeri Terengganu seluas 14,791 hektar yang merangkumi 10 ladang di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman yang telah diusahakan oleh FELDA sejak lebih 40 tahun lalu. Tanah-tanah ini bukanlah tanah rancangan FELDA yang mempunyai peneroka sebaliknya tanah kerajaan negeri yang sepatutnya diurus mengikut syarat serta perjanjian asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, sepanjang lebih empat dekad operasi FELDA di tanah-tanah tersebut, bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan 30 peratus kepada kerajaan negeri masih belum diselesaikan dengan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta.

“Lebih membimbangkan, tanah-tanah ini telah dipajak dan diisytiharkan sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia sedangkan status hak milik tidak pernah bertukar tangan. Penyenaraian sebagai aset FELDA adalah tidak wajar kerana tanah tersebut kekal sebagai milik Kerajaan Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memberikan ruang mencukupi untuk proses rundingan dan menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh akhir bagi FELDA menyelesaikan isu tertunggak, namun tempoh itu berakhir tanpa sebarang maklum balas.

“Hakikat bahawa tanah negeri diusahakan selama puluhan tahun tanpa pulangan sewajarnya bukan sahaja satu kerugian besar kepada rakyat, bahkan mencerminkan kelemahan tadbir urus yang tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan,” katanya.

Ahmad Amzad menegaskan negeri berhak menuntut hasil daripada tanah yang sah miliknya kerana hasrat itu bukan sahaja wajar bahkan selari dengan kepentingan rakyat Terengganu.

“Hasil ladang sepatutnya kembali menyumbang kepada rakyat dan pembangunan negeri bukan hanya menguntungkan pihak berkepentingan tertentu. Kelewatan dan kegagalan menyelesaikan tuntutan ini perlu ditangani dengan tegas agar hak negeri tidak terus dinafikan,” jelasnya.

Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan negeri mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

“Tuntutan yang dibuat bukanlah sesuatu yang baharu atau berlebihan tetapi merupakan hak sah yang telah tertangguh terlalu lama. Demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi Terengganu, penyelesaian segera dan menyeluruh amat diperlukan,” tegasnya.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan