PKR menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan hati terbuka, sambil menegaskan bahawa perjuangan parti itu masih belum berakhir.
Dalam kenyataan media bersama semalam, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan keputusan rakyat sebagai satu peringatan dan pengajaran.
“Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka – sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang,” menurut kenyataan itu.
PKR bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah kali ini, satu peningkatan yang menurut mereka selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama menunjukkan benih keyakinan terhadap parti itu mula bercambah di Sabah.
“Sokongan jentera dan anggota juga semakin mengukuh; ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan.”
PKR turut merakamkan penghargaan kepada jentera dan akar umbi yang telah berkorban sepanjang kempen, termasuk individu yang tercedera ketika memasang bendera dan wanita-wanita yang bergotong-royong menyediakan makanan sejak awal pagi.
“Ada pakcik yang masuk hutan mengutip buluh untuk menegakkan bendera sehingga tercedera, ada juga wanita-wanita yang bergotong-royong memasak sejak awal pagi, memastikan semua jentera bertenaga untuk terus berkhidmat. Pengorbanan kecil bagi mereka, tetapi besar maknanya untuk perjuangan ini,” kata mereka.
Nurul Izzah dan Saifuddin turut menyentuh sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan dan kepimpinan tempatan, serta memberi isyarat bahawa ketidaksepakatan dalam politik telah menjejaskan keyakinan rakyat.
“Mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab,” jelas mereka.
Nurul Izzah berkata, beliau mengambil tanggungjawab secara kolektif atas keputusan tersebut, dan bersama Saifuddin, menegaskan bahawa perjuangan bukan sekadar soal kemenangan.
“Perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik,” ujar mereka.
PKR turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang menang, termasuk satu kerusi tunggal yang dimenangi parti itu.
“Pikul amanah ini dengan kesungguhan, berkhidmatlah dengan tekad yang jujur, kerana setiap tindakan kalian akan menentukan masa depan rakyat yang memilih,” kata mereka.
Kedua-dua pemimpin itu menyeru agar semangat perjuangan terus dikekalkan.
BACA LAGI“Selagi ada rakyat yang belum terbela, selagi ada keadilan yang belum ditegakkan – PKR akan terus berdiri, bekerja, dan berjuang. Insya-Allah. Demi Sabah. Demi Malaysia,” kata mereka.

0 Ulasan