Seorang lelaki maut manakala seorang lagi lelaki cedera selepas ditembak oleh dua suspek menaiki motosikal dalam kejadian tembakan di Jalan Rasah menghala ke Mambau, Seremban pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat pertama berhubung insiden itu pada pukul 8.03 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 7.53 pagi.
“Kejadian melibatkan dua mangsa yang berada dalam sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih telah ditembak oleh dua lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital dan salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari manakala seorang lagi masih menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Punca dan motif kejadian masih di peringkat siasatan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut kerana boleh mengganggu siasatan.
“Orang awam disyorkan untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan. Sebarang maklumat berkaitan kejadian bolehlah disalurkan dengan menghubungi terus di talian Hotline IPD Seremban 06-603 3222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

0 Ulasan