Kerajaan longgarkan kod etika pakaian di kaunter dalam situasi kecemasan - KSN

 

Kerajaan memberi kelonggaran terhadap kod etika pemakaian bagi urusan di kaunter dan pejabat kerajaan khususnya dalam situasi kecemasan dan luar norma biasa, bagi memastikan hak rakyat mendapatkan perkhidmatan segera tidak dinafikan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kelonggaran akan diberikan kepada pelanggan yang berhadapan dengan situasi kecemasan seperti laporan kemalangan, kebakaran dan urusan bencana yang mengancam nyawa serta harta benda.

“Dalam hal ini, melihat kepada keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan, kelonggaran etika berpakaian akan diberikan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, bagi urusan biasa pula, ketua jabatan diberi budi bicara sewajarnya untuk menentukan etika berpakaian yang sopan dan bersesuaian berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa.

Shamsul Azri berkata, panduan berpakaian ketika berurusan di premis kerajaan telah digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 yang berkuat kuasa sejak 20 Januari lalu.

“Panduan tersebut menetapkan agar berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, perkhidmatan awam akan terus menambah baik aspek perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan yang mesra, cekap dan responsif, selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai MADANI.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan