Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang dijadual dibentangkan di Dewan Negara bulan ini akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penambahbaikan terhadap Seksyen 45F, khususnya berhubung peruntukan denda.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan oleh pihak industri berhubung peruntukan penalti di bawah seksyen berkenaan.
“Kerajaan MADANI sentiasa berpegang bahawa dasar yang hendak dilaksanakan mestilah bersesuaian dengan realiti industri di samping dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkara itu telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan hasilnya, kerajaan bersetuju agar Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mencadangkan pemansuhan peruntukan denda di bawah Seksyen 45F(4).
“Sehubungan dengan itu, pembentangan RUU Sistem Insurans Pekerjaan di Dewan Negara pada sesi Disember 2025 ini akan ditangguhkan bagi membolehkan PERKESO melakukan penambahbaikan terhadap Seksyen 45F termasuk pemansuhan peruntukan denda di dalam seksyen terbabit,” katanya.
Tambah beliau, cadangan penambahbaikan itu akan dibawa ke sesi libat urus bersama pemegang taruh industri termasuk pekerja dan majikan sebelum RUU berkenaan dibawa semula ke Parlimen tahun hadapan.
“Kerajaan MADANI kekal komited bagi memperkukuh sistem perlindungan pekerjaan negara melalui pendekatan yang tersusun, pragmatik dan inklusif,” tegasnya.

0 Ulasan