Rempit: Polis tahan 15 individu

 

Polis menahan seramai 15 individu termasuk pemandu pacuan empat roda dan penunggang motosikal dalam satu operasi khas susulan aktiviti lumba haram yang berlaku pagi tadi di Jalan Keningau–Apin-Apin, berdekatan Kilometer 4.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Keningau bermula pukul 9 pagi.

“Semua individu yang terlibat dalam aktiviti lumba motosikal haram telah berjaya ditahan. 

"Kenderaan yang digunakan dalam perlumbaan turut disita untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, antara yang ditahan termasuk empat buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 81(3) akta sama yang melibatkan kesalahan memandu secara melulu, galangan jalan dan pertandingan kelajuan.

“PDRM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang aktiviti lumba haram yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya. 

"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan itu.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan