Seorang lelaki tempatan kerugian sebanyak RM80,000 selepas diperdaya dalam urus niaga pembelian kad tambah nilai prabayar secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, mangsa, 45, membuat 14 transaksi kewangan ke dalam akaun syarikat yang diberikan oleh suspek sebelum menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima barangan seperti dijanjikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh disebat serta didenda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang pembelian atas talian yang melibatkan transaksi kewangan berskala besar.
“Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat digalakkan mendapatkan maklumat terkini berkaitan penipuan melalui laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

0 Ulasan