Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu unit telefon bimbit dipercayai mengandungi rakaman audio berkaitan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka yang berlaku pada 24 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, telefon tersebut diserahkan oleh salah seorang ahli keluarga tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian itu ketika hadir ke Bukit Aman pagi tadi bagi membantu siasatan.
“Selain itu, sampel suara saksi turut diambil dengan bantuan pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk tujuan analisis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, percakapan tiga ahli keluarga si mati turut dirakam dengan kehadiran tiga orang peguam.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan kini diambil alih sepenuhnya oleh Pasukan Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dikendalikan secara adil serta profesional berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Setakat ini, pasukan telah merekodkan percakapan tujuh orang saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan,” katanya.
Tambah beliau, PDRM komited memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa berpihak kepada mana-mana individu.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku,” tegasnya.

0 Ulasan