Seorang pengusaha restoran kerugian RM783,000 selepas diperdaya melalui skim pelaburan saham atas talian yang tidak wujud, dipercayai bermula daripada iklan di Facebook.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa, 30, telah membuat 23 transaksi kewangan ke dalam lima akaun berbeza antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu selepas dijanjikan pulangan harian antara RM550 hingga RM600 serta keuntungan sehingga 85 peratus.
“Mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu bernama ‘Christy’ yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut dan meminta mangsa memuat turun aplikasi ‘WHG Roup’ bagi tujuan pemantauan urus niaga,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan bagi yuran IPO.
“Wang yang digunakan adalah daripada simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga serta hasil jualan barang kemas dan dua buah rumah,” katanya.
Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Jerantut.
Polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang diiklankan di media sosial.
“Semakan boleh dibuat melalui portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my dan sebarang penipuan boleh dilaporkan segera kepada Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) di talian 997,” katanya.

0 Ulasan