Jangan beri ruang seinci pun iktiraf UEC - UMNOSiswa UMK

 

UMNOSiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyatakan bantahan keras terhadap sebarang cubaan membangkitkan semula isu yang mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pengerusinya, Muhammad Shahrul Aqasha Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya cadangan atau tuntutan untuk meratifikasikan UEC sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan nasional kerana ia dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, sistem tersebut tidak selari dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Dasar Pendidikan Nasional (DPN) serta tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"UMNOSiswa UMK mengecam dan menolak tuntutan DAP yang mendesak kerajaan untuk mengiktiraf (UEC) menjadi sebagai salah satu silibus pendidikan di negara ini.

"Tiada keperluan langsung untuk mengiktiraf (UEC) kerana ia secara jelas mengenepikan dan tidak menghormati Perlembagaan. Contohnya, terdapat beberapa komponen pendidikan yang tidak sepadan seperti kandungan silibus subjek Sejarah yang berfokuskan kepada sejarah China dan Asia Timur," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhammad Shahrul Aqasha turut menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang menekankan bahawa sebarang tuntutan pendidikan mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Nasional.

Tegas beliau, dasar tersebut perlu sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu serta menjaga kepentingan nasional secara menyeluruh.

"UMNOSiswa UMK menggesa semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan tidak membuka ruang walau seinci pun kepada perbincangan berkaitan pengiktirafan (UEC) kerana ia secara jelas bertentangan dengan Perlembagaan dan kepentingan nasional," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan