Khalil nafi penutupan Akademi Yayasan Terengganu Kemaman zalimi rakyat

 


Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kebajikan semua pelajar di Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) berada dalam keadaan terjamin dan diurus dengan baik, meskipun kawasan tersebut kini sedang melalui proses pembangunan sebuah Sekolah Imtiaz baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata penempatan pelajar AYTK diuruskan dengan teliti, dan selagi mereka tiada penempatan baharu, selagi itu pelajar-pelajar boleh tinggal di AYTK.

“Segala urusan penempatan ini diselaraskan secara profesional antara Yayasan Terengganu (YT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan sesi persekolahan berjalan tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, ibu bapa telah dimaklumkan melalui sesi libat urus rasmi dan mereka menerima baik penjelasan yang diberikan.

Mereka memahami bahawa proses ini dilakukan secara teratur, tidak tergesa-gesa dan dengan mengambil kira keselamatan, keselesaan serta masa depan pendidikan anak-anak mereka," katanya.

Beliau turut memandang serius tindakan pihak tertentu yang didakwa memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan persepsi bahawa AYTK menzalimi rakyat.

“Naratif seperti ini berniat jahat dan hanya mencetuskan keresahan masyarakat tanpa asas,” katanya sambil menambah kawasan AYTK kini sedang melalui proses pembangunan sebuah Sekolah Imtiaz baharu.

Pembangunan ini selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk memperkukuh pendidikan berteraskan al-Quran melalui model sekolah moden, sistematik dan berkualiti tinggi.

Muhammad Khalil menjelaskan, permohonan kemasukan ke Imtiaz kini melebihi 5,000 permohonan setiap tahun. 

"Keadaan ini membuktikan minat rakyat yang sangat tinggi terhadap pendidikan yang menggabungkan kekuatan hafazan al-Quran, akademik dan kemahiran profesional," jelasnya.

Beliau berkata, memandangkan pengambilan pelajar Imtiaz baharu dijangka bermula pada awal 2027, kerja-kerja baik pulih, penyediaan tapak dan pembinaan fasa awal akan dilaksanakan secara berperingkat mulai pertengahan 2026.

“Ini memastikan fasiliti Imtiaz baharu dapat beroperasi dengan sempurna dan selesa apabila sesi pengambilan bermula,” jelasnya.

Dengan tanah tambahan seluas 10 ekar di kawasan AYTK, sebuah sekolah moden berkapasiti 700 hingga 800 pelajar boleh dibina bagi menampung permintaan tinggi tersebut.

“Pembangunan Imtiaz baharu di kawasan AYTK bermakna lebih ramai dapat menikmati peluang pendidikan berkualiti, bukan sebaliknya,” katanya.

Muhammad Khalil turut menekankan bahawa pembinaan sekolah Imtiaz baharu itu akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk guru-guru al-Quran, guru akademik, warden, pegawai kaunseling, penyelia asrama, petugas keselamatan serta staf sokongan.

Secara tidak langsung, katanya, ia turut merancakkan ekonomi setempat, termasuk perniagaan kecil, pembekal makanan, pengangkutan dan perkhidmatan sekitar kawasan sekolah.

Beliau berkata, keutamaan kemasukan ke Imtiaz baharu kekal diberikan kepada pelajar yang lulus tapisan YT, tanpa mengira latar belakang miskin atau kaya, bagi memelihara standard dan reputasi institusi tersebut. 

"Bagi yang tidak melepasi tapisan tetapi tetap berminat dengan pendidikan al-Quran, YT menyediakan laluan alternatif.

"Transformasi AYTK ini adalah pelaburan jangka panjang kerajaan negeri untuk memperluas akses pendidikan Quranik generasi masa depan, sekali gus menyokong hasrat membina generasi 'Qurani profesional' yang menguasai ilmu agama dan bidang kepakaran moden secara seimbang," katanya.

Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri Terengganu menyeru masyarakat agar terus merujuk kepada sumber sahih dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang direka untuk mengeruhkan suasana.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan