Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyangkal dakwaan yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) akan menyebabkan syarikat Amerika Syarikat (AS) mendapat status Bumiputera dan membatalkan dasar Bumiputera negara ini.
Beliau berkata, walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri atau senator sejak 2 Disember, beliau tidak boleh berdiam diri apabila "tuduhan berat seperti ‘syarikat AS mendapat status Bumiputera’ dilemparkan tanpa merujuk fakta sebenar dalam teks perjanjian dan undang-undang negara kita."
❌ Tiada Klausa Sebut "Status Bumiputera"
Menjawab dakwaan yang memetik Fasal (Klausa) 6.2(1) sebagai bukti syarikat AS mendapat layanan seperti Bumiputera, Tengku Zafrul menegaskan sehingga hari ini, Dr. Mahathir Mohamad "masih tidak dapat menunjukkan satu pun fasal (klausa) dalam ART yang menyebut ‘status Bumiputera’ untuk syarikat AS."
"Tuduhan itu berdiri di atas imej yang Tun bina sendiri, bukan pada teks perjanjian," katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau menjelaskan bahawa Fasal (Klausa) 6.2(1) yang dipetik oleh Dr. Mahathir Mohamad hanya menyentuh Syarikat Milik atau Kawalan Kerajaan (SOE) pengeluar barangan (Syarikat Berkaitan Kerajaan - GLC yang membuat aktiviti komersial) dan menetapkan dua perkara umum yang sudah menjadi amalan dalam banyak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), iaitu:
Bila GLC bersaing di pasaran komersial, keputusan perlu dibuat atas pertimbangan komersial; dan
Jangan diskriminasi semata-mata atas dasar negara asal satu pihak.
"Itu tidak sama dengan mengharamkan dasar Bumiputera," tegas beliau, sambil menambah sebahagian besar agenda Bumiputera dijalankan melalui pendidikan, latihan, pembiayaan, pembangunan vendor, kuota perolehan kerajaan, dasar tanah, dan lesen yang kesemuanya "tidak termasuk dalam 6.2(1)."
🛡️ Pengecualian Jelas: Kewajipan Perkhidmatan Awam
Tengku Zafrul turut menekankan bahawa Dr. Mahathir sengaja mengabaikan bahagian paling penting di hujung fasal tersebut:
“... kecuali untuk pencapaian obligasi (kewajipan) perkhidmatan awam mereka (public service obligations).”
"Di sinilah ruang dasar sosial, termasuk agenda Bumiputera, diiktiraf," ujarnya.
Menurutnya, banyak program melalui PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan lain-lain memang ditakrif sebagai obligasi/kewajipan perkhidmatan awam (public service obligations) untuk menurunkan kos hidup, membina kapasiti vendor tempatan termasuk Bumiputera, dan menyediakan pembiayaan kepada usahawan kecil.
Menjawab soalan Dr. Mahathir iaitu “siapa tentukan obligasi perkhidmatan awam (public service obligations), Malaysia sahaja atau Amerika juga?”, Tengku Zafrul menyatakan jawapannya jelas:
"Ia bermula dengan undang-undang dan dasar kita sendiri. Teks ART sendiri jelas menyatakan komitmen dilaksanakan 'mengikut undang-undang dan peraturan domestik (in accordance with domestic laws and regulations)'."
Beliau menambah, tiada satu pun fasal yang memberi hak kepada Amerika untuk menulis undang-undang Malaysia atau menentukan secara unilateral apa itu perkhidmatan awam (public service) di Malaysia.
🔴 'Garis Merah' Malaysia Tidak Disentuh
Mengenai kenyataan Duta AS, Edgard Kagan, yang disebut oleh Dr. Mahathir, Tengku Zafrul berkata walaupun Amerika mempunyai 'garis merah' mereka sendiri, Dr. Mahathir tidak menyebut bahawa duta yang sama juga secara terbuka menyatakan Amerika menghormati hak kedaulatan Malaysia untuk menentukan dasar ekonomi.
Beliau menggariskan bahawa 'garis merah' (red lines) Malaysia jelas sejak awal:
Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 153;
Dasar Bumiputera;
Kuasa Parlimen menggubal dan meminda undang-undang;
Kebebasan Malaysia menentukan dasar luar berprinsip, termasuk pendirian terhadap Palestin.
"Sebab itu Peguam Negara mengesahkan tiada pindaan undang-undang diperlukan, dan tiada satu pun fasal ART yang menyentuh atau meminda Perkara 153. Kalau benar hak Bumiputera 'gugur dalam sekelip mata', sudah tentulah Peguam Negara tidak akan meluluskan perjanjian ini," tegasnya.
📉 Lindungi Ekonomi Daripada Risiko Tarif Tinggi
Tengku Zafrul tidak menafikan bahawa AS berunding untuk kepentingan mereka, tetapi Kerajaan Malaysia juga berunding untuk mengurangkan mudarat kepada rakyat.
"Tanpa ART, hampir semua eksport kita ke AS, hampir RM200 bilion setahun, berdepan risiko tarif 24–25% atau lebih, di bawah tindakan unilateral [bekas Presiden] Trump. Itu bermakna tekanan kepada jutaan pekerjaan dalam Elektronik dan Elektrik (E&E), getah, aeroangkasa, farmaseutikal dan sektor lain," jelasnya.
Beliau bertanya kembali, "Apa yang lebih pro-Bumiputera – mempertahankan ruang dasar yang luas di atas kertas tetapi membiarkan kilang-kilang di negara gulung tikar kerana tarif 25%, atau merundingkan kerangka yang menurunkan risiko tarif, mengunci 0% untuk 1,711 baris tarif utama dan mengekalkan pekerjaan serta kontrak eksport yang menjadi sumber rezeki keluarga Bumiputera?"
Tengku Zafrul menyeru agar rakyat tidak ditakut-takutkan dan sentimen Bumiputera serta kedaulatan tidak dimainkan sedangkan teks perjanjian, undang-undang dan realiti ekonomi menunjukkan gambaran yang jauh lebih seimbang.
BACA LAGI
0 Ulasan