Majlis Belia Sabah kecewa parti luar sertai Kabinet negeri

 


Majlis Belia Sabah menzahirkan kecewa dengan perkembangan terkini pembentukan kabinet negeri yang didakwa melibatkan parti luar, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan anak muda yang selama ini berjuang mempertahankan maruah politik negeri.

Presidennya, Abqaree Fawwaz bin Abekan berkata, keputusan tersebut telah menimbulkan luka mendalam kerana anak muda Sabah telah berkorban jiwa dan raga demi memastikan masa depan negeri ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri.

“Keputusan untuk melibatkan parti luar ke dalam struktur kerajaan negeri telah menimbulkan luka dan kekecewaan mendalam di kalangan belia Sabah yang selama ini berjuang habis-habisan demi mempertahankan maruah politik negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pengorbanan anak muda yang menggerakkan kempen, mencurah tenaga dan menyuarakan suara perubahan seolah-olah tidak dihargai.

“Namun apa yang berlaku hari ini seolah-olah menidakkan segala pengorbanan tersebut. Kami merasa dianaktirikan, dipandang enteng dan tidak dihargai, seakan usaha menegakkan maruah negeri ini diperlakukan sebagai permainan politik semata-mata,” ujarnya.

Abqaree Fawwaz menekankan bahawa anak muda Sabah mahu melihat kepimpinan yang berani, bermaruah dan bebas daripada pengaruh luar.

“Anak muda mahu melihat Sabah yang berdiri atas kaki sendiri, bukan bersandar kepada kuasa yang pernah memperlahankan kemajuan dan menyekat cita-cita kita selama puluhan tahun,” katanya.

Majlis Belia Sabah turut menegaskan beberapa perkara utama iaitu maruah Sabah tidak boleh dijual beli, suara belia tidak boleh digunakan sebagai alat kemudian diketepikan, serta Sabah berhak kepada kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan masa depan rakyatnya.

“Hari ini, kami berdiri bukan untuk membenci sesiapa, tetapi untuk mempertahankan maruah negeri. Kami menolak sebarang keputusan politik yang melemahkan autonomi Sabah dan mengkhianati aspirasi anak muda yang ingin melihat perubahan sebenar,” jelasnya.

Beliau menambah, kerjasama politik tidak ditolak namun mesti menghormati maruah anak muda Sabah.

“Kita tidak menolak kerjasama atau memutuskan silaturahim, tetapi, kerjasama itu, perlu menghormati maruah anak muda Sabah,” tegasnya.

Abqaree Fawwaz menegaskan bahawa belia Sabah akan terus bangkit dan bersuara demi masa depan negeri.

“Belia Sabah akan terus bangkit, akan terus bersuara, dan akan terus mempertahankan hak kami untuk masa depan yang lebih bermaruah. Ini negeri kita. Ini maruah kita. Ini masa depan kita. Hidup Sabah. Demi maruah, demi masa depan,” katanya.


BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan