Pekida Wilayah gesa pihak berkuasa tutup segera spa songsang

 

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa berkaitan untuk mengambil tindakan menutup serta-merta semua pusat seperti spa dan premis yang menganjurkan aktiviti songsang (LGBT).

Merujuk kepada kes serbuan PDRM ke atas sebuah spa songsang dan penangkapan sekumpulan lelaki di spa tersebut baru-baru ini, Pekida Wilayah mendakwa, tangkapan itu dibuat kerana terdapatnya aktiviti hubungan seks songsang.

Namun, katanya, selepas tangkapan itu berlaku, PDRM memaklumkan bahawa siasatan tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan mangsa dalam kes tersebut, yang akhirnya menyebabkan gagal mendapatkan perintah reman daripada mahkamah.

Akibat daripada kenyataan PDRM tersebut, Pekida Wilayah menyatakan kebimbangan yang mendalam.

"Pekida Wilayah khuatir, bimbang dan risau bahawa selepas daripada ini spa-spa LGBT akan tumbuh dengan lebih banyak dan aktiviti-aktiviti seks songsang akan berleluasa berlaku di Malaysia kerana kegagalan penguatkuasaan undang-undang," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pekida Wilayah mendesak kerajaan segera menggubal undang-undang yang jelas bagi memastikan pusat-pusat aktiviti seks songsang tidak dapat beroperasi dan pengamal aktiviti seks songsang ini dapat diambil tindakan undang-undang.

"Pekida Wilayah memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang mengoperasikan spa-spa songsang untuk menutup terus operasi mereka," tegasnya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan